Skip to main content

Soalan Sebelum Cerita

Cerita adalah satu alat. Cerita adalah propaganda. Cerita adalah cerminan diri, perakam zaman dan pelbagai tafsiran lagi. Boleh jadi cerita adalah pengakuan penulis yang disamarkan. Namun sang pencerita(dalam konteks ini, penulis) sebenarnya bukanlah alat walaupun mungkin dia penulis upahan atau dibayar semata-mata untuk menulis. Seorang penulis, dia bercerita kerana dalam kepalanya mungkin ada ulat yang meruit-ruit ingin keluar. Mungkin ada sepohon durian yang sedang masak ranum dan buahnya tergolek jatuh dari kepala, durinya mengena tangan penulis lalu darahnya terpercik ke dalam skrin/kertas. Itulah idea/ilham yang melintas kepalanya. Alangkah rugi jika durian itu tak dikupas dan dimakan isinya yang manis lemak itu.

Kalau A.Samad Said jika ditanya tentang bagaimana mahu menulis jawapan yang biasa kita dengar adalah 'baca baca baca'. Ianya memang tepat. Menurut Shahnon Ahmad pula, dalam salah satu eseinya yang termuat di dalam buku Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan, dia menyebut 'konflik konflik konflik!'.

Memang benar suatu-suatu cerita itu tidak akan bergerak tanpa konflik. Kebiasaannya pembukaan satu-satu cerita (cerpen/novel malah mungkin prosaik/puisi!) akan dimulakan dengan penerangan tentang suasana sekitar atau suasana alam. Ini berdasarkan pembacaan saya terhadap karya lokal. Tidak semua begitu.

Jean Luc Godard pernah berkata suatu-suatu cerita itu perlu ada permulaan, pertengahan dan pengakhiran namun tidak semestinya tiap fasa itu perlu mengikut aturannya. Cuba bayangkan satu cerita itu bermula dengan konflik yang memungkinkan sebagai satu fasa pengakhiran? Hasilnya tentu lain macam jika diolah dengan baik. Tentulah tidak semestinya cerita perlu berakhir dengan kegembiraan. Cerita boleh bermula dengan kegembiraan dan menyusut penghujungnya, seperti jemari yang kekecutan kerana terlalu lama berendam di air terjun. Air terjun indah dan mandi di dalamnya menyeronokkan, begitulah juga jika kita menulis cerita. Boleh jadi saat awal membacanya kita seronok tetapi tika penamatnya kita menggigil kesejukan dan jemari kecut. Yang penting keseronokan mandi berbekas dan ianya meninggalkan memori manis dalam kepala pengalaman.

Berbalik pada hal konflik, ia mudah saja sebenarnya. Jika anda terlalu tepu idea untuk menulis, fikirkan tentang konflik. Contohnya anda ciptakan satu lelaki yang sakit hidung. Bagaimana anda cipta watak ini? Mungkin ketika anda selsema atau ketika anda korek tahi hidung. Saya bercakap begini kerana sekecil hal pun kita boleh kembang-konflikkan. Baik, lelaki tadi sakit hidungnya berterusan dan setelah berhari-hari ia resah dan mula memberitahukan hal itu pada isterinya. Dia ke hospital dan doktor memberitahu yang dia terkena kanser tahap akhir dan cuma memiliki beberapa hari untuk hidup.

Kamu boleh kembangkan lagi. Mungkin dia memilih untuk beramal ibadat sambil mengharap ampunan tuhan (namun cerita sebegini boleh diagak,  klise nak mampus) atau mungkin dia mahu mencuba semua nikmat hidup. Menyedut syabu, melanggan pelacur dan berjudi di mesin slot yang dia kerap nampak awek seksi pelayan kedai tersebut turun tangga dan dia main judi, dia menang dan dia ajak awek pelayan Vietnam itu check in hotel. Sebelum dia sempat ajak ada gangster yang kacau awek itu dan lelaki itu cuba melindungi awek itu sebelum dia ditembak. Tamat. Mungkin setengah orang melihat cerita sebegini sebagai mengarut, lagha atau tak ada arah. Tapi dengan olahan baik percayalah ianya tetap satu cerita yang berkualiti.

Konflik mesti berkesinambungan. Ada yang nak selesaikannya. Mungkin bukan watak utama tu pun. Mungkin watak utama sekadar pembuat pilihan. Dan disitu dia juga terlibat dalam konflik untuk memilih pula. Atau boleh tulis konflik itu memandunya membuat pilihan. Saya ambil contoh dalam cerpen saya sendiri je lah, Getah Paip Oren yang tersiar di cukaria.com yang mana pada ayat permulaan saja sudah ada konflik iaitu watak utama mahu berak tetapi tidak bertemu tandas pilihannya, tandas duduk. Semasa dia berak satu objek telah mengimbaukan kenangan lalunya. Dia teringat bermacam hal. Di akhir cerita dia memilih untuk melanggan pelacur Rusia. Lihat, ini adalah satu contoh yang konflik memandu watak dalam membuat pilihan.

Namun dalam penulisan novel, dunianya lebih luas. Pastilah konflik akan lebih banyak dan berangkaian pula. Ini akan dikembang-gerak oleh watak-watak kerana watak dalam novel biasanya banyak tidak seperti di dalam cerpen.

Apapun pokok pangkalnya membacalah. Jangan membaca karya tempatan saja. Dengan membacalah kita dapat mengembara, mengenali dunia lain dan meluaskan fikiran yang sebelum ini mungkin terkedap dengan kefahaman tradisional-lokal sahaja.

Seperti kata Malim Ghozali PK (kebanyakan penulis hebat pun akan kata begini tapi Pak Malim mengucapkan ayat itu di depan saya sewaktu forum buku di PBAKL17 dulu dan saya ingatnya sebut antara penulis yang dia baca ialah GG.Marquez, J.Varghas dan A.Camus) luaskan bacaan. Baca karya penulis yang menang hadiah Nobel atau yang diketahui hebat.

Dan kemudian, tulislah.

Eh, macam panduan menulis pulak?

Selamat Hari Raya!

Comments